HOME

Rabu, 17 Agustus 2011

MAKNA KATA "KULLU" PADA KALIMAT KULLU BID'ATIN DHALALAH



Kalimah "Kullu" menurut ahli bahasa adalah salah satu bentuk kata umum. Imam Syatibi menjelaskan kaedah hadis ini yang menekankan kalimah kullu, iaitu:

مَحْمُوْلٌ عِنْدَ الْعَلَمَاء عَلَى عَمُوْمِهِ ، لاَيُسْتِثْنَى مِنْهُ شَيْءٌ اَلْبَتَّة وَلَيْسَ فِيْهَا مَا هُوَا حَسَنٌ اَصْلاً

"Menurut ulama, hadis ini diterapkan pada keumumannya tanpa ada pengecualian apa pun darinya. Pada bid'ah (di hadis ini pula) sama sekali tidak ada yang disebut (bid'ah) yang baik". (الفتوى Hlm. 180-18 Syatibi. Lihat: علم اصول البدع hlm. 91 Ali Hasan). 

Antara fungsi kalimah (كُلُّ) yang digunakan oleh hadis di atas, dapat difahami dan diertikan dengan betul dan sempurna hanya melalui tatacara dan kaedah Bahasa Arab sahaja yang mana kalimah tersebut hanya boleh diertikan kepada makna: "Semua atau Kesemuanya".

Kalimah atau perkataan (كُلُّ) di dalam hadis ini adalah kalimah yang digunakan dalam Bahasa Arab untuk menjelaskan kepadatan atau kepastian yang semata-mata hanya memberi makna "Semuanya". Kalimah ini juga diistilahkan sebagai kalimah (جَامِعَةٌ) yang digunakan dalam Bahasa Arab hanya untuk menerangkan atau menunjukkan "kesemuanya atau keseluruhannya" tanpa adanya pengecualian sama sekali.

Dengan penjelasan ini perlu diberi penekanan dan perhatian yang serius bahawa kalimah (كُلُّ) dalam Bahasa Arab hanya memberi makna, erti dan maksud: "Semuanya atau Keseluruhannya". Ia sama sekali tidak boleh diterjemahkan kepada makna, erti atau maksud: "Separuh, Sebahagian atau Setengah". Maka hadis ini tidak membizakan dalam hukum antara satu bid'ah dengan bid'ah yang lain, iaitu tidak ada bid'ah hasanah dalam urusan agama.

Tambahan pula jika difahami kalimah kullu di hadis yang dibincangkan ini secara lahiriyah dan tabiinya menurut kaedah yang dimaksudkan oleh hadis tersebut, ia hanya memberi satu makna, satu maksud, satu erti dan satu tujuan iaitu "Setiap bid'ah itu pasti sesat" dan tidak boleh diertikan atau diterjemahkan kepada "Separuh, sebahagian atau setengah bid'ah itu baik (tidak sesat)". Menolak hakikat (istilah) kalimah ini samalah seolah-olah menganggap Nabi tidak tahu menggunakan istilah Bahasa Arab dengan betul maka anggapan serupa ini adalah kepercayaan yang dianggap bid'ah dan membawa kepada kekufuran yang nyata.

Dengan demikian tidak dapat diterima pendapat yang meyakini bahawa bid'ah dalam urusan agama terbahagi kepada dua, tiga atau lima bahagian kerana pembahagian seperti itu bertentangan dengan ketegasan dan maksud hadis-hadis yang menjelaskan bahawa hakikat bid'ah jika dilibatkan dalam persoalan syara adalah sesat keseluruhannya. Jika perbuatan menukar maksud dan makna kalimah kullu di hadis ini disengajakan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian pengikut yang berpegang kepada kaedah mantik yang dipengaruhi oleh kaedah Yunani, ia adalah perbuatan yang fasik dan batil.

Secara ilmiyah, apabila dikembalikan kepada penilaian bahasa al-Quran kalimah atau perkataan (كُلُّ) yang terdapat di dalam al-Quran atau al-Hadis hanya memberi makna "kesemuanya" atau "keseluruhannya".

Untuk memahami satu-satu ayat atau kalimah yang terdapat di dalam al-Quran mestilah melalui panduan dan penafsiran yang telah disyaratkan oleh al-Quran itu sendiri, kemudian barulah melalui panduan as-Sunnah. Begitu juga, cara untuk memahami al-Hadis dan satu-satu kalimah dari hadis-hadis yang sahih dengan betul dan sempurna mestilah melalui al-Quran terlebih dahulu.

Dengan itu untuk memahami kalimah (كُلُّ) di hadis yang sahih ini tentulah melalui landasan kalimah yang seumpamanya yang banyak terdapat di dalam al-Quran. Kalimah kullu ini dapat difahami melalui firman Allah sepertimana di bawah ini yang menggunakan kalimah yang sama dan mempunyai fungsi yang serupa:

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ

"Setiap yang hidup akan merasai mati". (Ali Imran, 3: 185)

Kedudukan kalimah (كُلُّ) pada ayat ini menunjukkan bahawa kalimah kullu tersebut hanya memberi maksud dan makna "semua, setiap atau keseluruhan" tanpa adanya pengecualian. Iaitu: "semua, setiap atau keseluruhan yang hidup akan mati" kerana inilah kenyataan yang wajib diyakini oleh setiap orang Islam yang beriman dengan keseluruhan ayat-ayat al-Quran bahawa setiap atau keseluruhan (كُلُّ) yang hidup akan menghadapi kematian kecuali Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana juga firman-Nya:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُوْالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ

"Kesemua yang terdapat di bumi akan binasa dan hanya yang tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan". (ar-Rahman, 55: 26-27)

Kedudukan kalimah kullu (كُلُّ) di ayat pertama mempunyai konsep dan fungsi yang sama dengan kedudukan kalimah kullu yang terdapat pada ayat yang kedua. Begitu juga kalimah (كُلُّ) pada kedua-dua ayat di atas ini mempunyai fungsi yang sama pula dengan kalimah kullu di hadis sahih yang telah kita bincang dan jelaskan. 

Menafsirkan kalimah (كُلُّ) pada kedua-dua ayat di atas kepada pengertian separuh, setengah atau sebahagian adalah merupakan penafsiran atau pengolahan yang fasik lagi batil kerana bertentangan dengan kaedah penafsiran yang betul.

Telah terbukti bahawa kalimah kullu yang terdapat pada hadis tentang bid'ah yang sering menjadi isu ini tidak boleh dimaksudkan, diertikan, disyarahkan atau diterjemahkan kepada pengertian sebahagian, setengah atau separuh sebagaimana perbuatan segolongan ulama mantik kacukan Yunani kerana ia bertentangan dengan maksud hadis dan makna dari pengertian kalimah (كُلُّ) di dalam al-Quran dan juga hadis tersebut.

Menurut kaedah atau ketetapan ilmu usul jika sesuatu kalimah diulang berkali-kali di beberapa tempat sebagaimana diulang-ulangnya kalimah kullu (كُلُّ) dalam menetapkan bahawa "setiap (كل) bid'ah itu sesat", maka apabila ia terdapat dalam dalil-dalil (al-Quran, al-Hadis dan athar yang sahih) maka ia menjadi dalil syarii kulli (دليل شرعي كلي) iaitu: "Pasti setiap (كل) bid'ah itu sesat."

Penolakan adanya bid'ah hasanah dikuatkan dengan kenyataan bahawa tidak pernah terkeluar atau terucap dari mulut Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam yang mulia walaupun sebuah sabda yang menerangkan adanya bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) di dalam amal-ibadah atau akidah. Sebaliknya, pendapat dan ucapan yang mengatakan adanya bid'ah hasanah hanyalah berpunca dari kekeliruan pemahaman istilah bahasa atau hasil dari kata-kata serta pendapat yang direka oleh ulama suk dan bukanlah berdasarkan al-Quran, as-Sunnah atau athar yang sahih.

Pada hakikatnya tidak mungkin ada bid'ah hasanah dalam agama kerana secara jumlah bid'ah semuanya maksiat sebagaimana penjelasan as-syatibi:

وَلاَ شَكَّ اَنَّ الْبِدَعَ مِنَ الْجُمْلَةِ الْمَعْصِيَةِ

"Tidak dapat diragukan bahawa bid'ah secara keseluruhannya adalah maksiat." (Lihat: الاعتصام. Jld. 2. Hlm. 60)

وَانَّ السَّلَفَ لَمْ يُطْلقُوْا لَفْظَ الْبِدْعَةِ اِلاَّ عَلَى مَا هُوَ فِى نَظرِهِمْ مَذْمُوْم

"Sesungguhnya (para ulama) salaf tidak pernah menggunakan lafaz bid'ah kecuali terhadap apa yang mereka dapat tercela (maksiat)." (Lihat: البدع hlm. 182. 'Izzat 'Atiah)

Terdapat segolongan mubtadi' (pembuat bid'ah) beralasan bahawa kalimah "Kullu" dalam hadis yang sedang dibincangkan tidak menunjukkan erti umum dengan dalil bahawa Allah berfirman:

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِاَمْرِ رَبِّهَا

"Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya". (al-Ahkaf, 56: 25)

Pembuat bid'ah seterusnya beralasan: Dalam ayat yang mulia di atas ini angin tidak menghancurkan segala sesuatu, maka hal ini menunjukkan bahawa kalimah "Kullu" tidak sentiasa menunjukkan erti yang bersifat umum.

Sebagai jawapan terhadap kesilapan mereka, bahawa kalimah "Kullu" dalam ayat di atas menunjukkan erti umum, sebab angin itu menghancurkan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah untuk dihancurkan dan tidak segala sesuatu yang terdapat di dunia. Penjelasan ini berdasarkan tafsiran Ibn Jarir:

اِنَّمَا عَنَى بِقَوْلِهِ : { تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِاَمْرِ رَبِّهَا } مِمَّا اُرْسِلَتْ بِهَلاَكِهِ لاَنَّهَا لَمْ تُدَمِّْ هُوْدًا وَمَنْ كَانَ آمَنَ بِهِ

Sesungguhnya yang dimaksudkan Allah dengan firmanNya: Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya. Adalah bahawa angin menghancurkan segala sesuatu yang dikehendaki oleh Allah untuk dihancurkan. Sebab angin tidak menghancurkan Nabi Hud alaihis salam dan orang-orang yang beriman kepadanya". (Lihat: تفسير الطبرى (13/ 26-27))

Imam al-Qurtubi rahimahullah pula menafsirkan ayat di atas sebagai berikut:

اَيُّ كَلُّ شَيْءٍ مَرَّتْ عَلَيْهِ مِنْ رَجَالِ عَادٍ وَاَمْوَالِهَا

"Maksudnya, yang dihancurkan hanyalah segala sesuatu yang dilewati angin dari kaum 'Ad dan harta mereka". (الجامع لاحكام القرآن (16/206). Al-Qurtubi)

Begitu jugalah dengan pendapat para ulama tafsir yang lain tentang kalimah "Kullu" di ayat di atas. Oleh itu, menggunakan dalil bahawa kalimah "Kullu" dalam hadis tidak mengundang erti umum tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali.

Syeikh Mulla Ahmad Rumi al-Hanafi amat tegas dalam perkara ini sehingga beliau berkata:

فَمَنْ اَحْدَثَ شَيْئًا يَتَقَرَّبُ بِهِ اِلَىاللهِ تَعَالَى مِنْ قَوْلٍ اَوْ فِعْلٍ ، فَقَدْ شَرَعَ مِنَ الدِّيْنِ مَا لَمْ يَاْذَنْ بِهِ اللهُ فَعُلِمَ اَنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ مَنَ الْعِبَادَةِ الدِّيْنِيَّةِ لاَ تُكُوْنُ اِلاَّ سَيِّئَةً

"Sesiapa yang membuat perkara yang baru untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, baik dalam bentuk ucapan atau perbuatan, sesungguhnya dia telah membuat syariat dalam agama dengan bentuk ibadah keagamaan, ia adalah bid'ah yang keji". (Lihat: علم اصول البدع hlm. 101 Ali Hasan)

1 komentar:

  1. Mungkin kata kull di sini yang disebut oleh ahli usul fqih : al-Umum yabqoo alaa umuumihi, seperti ayat kullu nafsin dzaa'iqotul maut. Yang saya ragukan adalah, apa terminologi bid'ah yang dipakai ulama awal Islam (sahabat, tabiin dan tabiut tabiin). Di kalangan mereka ada istilah muhdats dan bid'ah. Di kalangan ahli hadis yang paling awal pun, ahlu bid'atin itu adalah rowi yang ikut aliran sesat semacam Murjiah dan lainnya. Di kalangan tabiin menyebut qunut subuh itu muhdats bukan bid'ah. Saya menemukan sesuatu yang kurang pas pada riwayat yang mengatakan wa kullu muhdatsaatin bid'ah, sebab pada riwayat al-Bukhori dan Muslim tambahan itu tidak ada. Mohon penjelasannya. Syukron,
    al-Faqir
    M. Hasyim Manan

    BalasHapus